BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
selamat datang ke blog hanis fatihah, terima kasih kerana sudi melawat

Friday, May 21, 2010

Allah ada d mana2..Allah sntiasa melihat ape yg kitalakukan stiap msa dn saat.

ALLAH ada di mana-mana. Allah melihat apa yang kita lakukan meskipun di tempat yang gelap serta sunyi atau tersembunyi.

Sedetik pun kita tidak boleh lari daripada Allah. Allah Maha Besar, Maha Perkasa dan Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.


Kita semua ini adalah makhluk Allah, tak kira apa pangkat, warna kulit dan bahasa yang kita tuturkan sehari-hari. Allah yang mencipta kita daripada air mani dan dari situ dijadikan segumpal darah. Daripada segumpal darah Allah jadikan segumpal daging dan kemudian dijadikan pula tulang-belulang. Tulang-belulang itu dibungkus dengan daging sebelum dijadikan bentuk.


Proses penciptaan manusia ini difirmankan Allah s.w.t dalam al-Quran surah Al-Mukminun ayat 12-14 yang bermaksud: “Sesungguh Kami telah menciptakan manusia dari sari pati tanah. Kemudian darinya Kami jadikan air mani di tempat yang kukuh (rahim). Dan air mani itu Kami jadikan segumpal darah. Dan dari segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging. Dan dari segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang. Kemudian tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kami ciptakan darinya bentuk yang lain yang sempurna. Allah Maha Besar, Dialah sebaik-baik Pencipta.” Kita patut bersyukur kepada Allah yang mengizinkan kita hidup atas dunia ini walaupun hanya untuk sementara saja. Ketika hidup ini kita diberi pelbagai ujian dan di waktu yang sama dilimpahi dengan pelbagai nikmat.


Semua nikmat yang kita kecapi atas dunia ini, Allah beri secara percuma seperti nikmat mata untuk melihat, nikmat kaki untuk berjalan, nikmat mulut untuk makan dan lain-lain lagi.


Akan tetapi ada di kalangan kita lupa untuk mengucapkan rasa syukur kepada Allah atas pemberian nikmat berkenaan.


Seperti kata Ibnul Qayyim: “Manusia banyak yang lali akan dirinya serta tidak mahu merenungkannya dan tidak mahu bersyukur. Seandainya saja manusia mahu merenungkan tentang penciptaan dirinya, maka apa yang ia temukan dari perenungan itu sudah mencukupi untuk tidak berbuat ingkar terhadap Allah s.w.t.” Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Binasalah manusia, alangkah ingkarnya manusia. Daripada apa ia diciptakan? Ia diciptakan dari air yang menjijikkan, kemudian ditentukan. Kemudian jalannya dipermudah. Kemudian dimatikan dan dikuburkan. Kemudian, jika Allah s.w.t menghendaki, ia akan dikumpulkan untuk dipertanggungjawabkan.” Kita adalah hamba Allah kerana Allah yang mencipta kita. Sebagai hamba Allah, kita seharusnya sentiasa menjaga Allah. Menjaga Allah di sini bermaksud sentiasa patuh dan taat akan segala perintah-Nya.


Dalam sebuah buku tulisannya, Dr Aidh Abdullah Al-Qami mencatatkan: Allah menjaga hamba-Nya yang menjaga-Nya dalam pelbagai keadaan dan situasi dan tidak seorang pun yang dapat mengiranya. Allah menjaganya dalam urusan agamanya dan itulah sesuatu yang paling berharga bagi seorang Muslim. Allah menjaganya dalam urusan dunianya daripada pelbagai keburukan dan menundukkan untuknya semua makhluk-Nya.


Dr Aidh menyambung dalam tulisannya bahawa ramai orang yang tidak sedar penjagaan Allah s.w.t dalam urusan agamanya seringkali tidak difikirkan walaupun perkara itu merupakan sesuatu yang amat penting. Allah menjaga hatinya daripada syubhat (fikiran kacau dan keliru) dan keraguan. Allah menjaganya daripada kemusyrikan dan kemunafikan. Allah menjaganya daripada kebingungan dan kebimbangan dan daripada berbagai prinsip asing yang merosakkan. Allah menjaganya sehingga tahu jalan kebaikan dan kebahagiaan.

Sekiranya kita tidak menjaga Allah, maka Allah juga tidak akan menjaga kita. Contoh yang terbaik untuk kita lihat mereka yang tidak menjaga Allah ialah Firaun dan Qarun. Mereka tidak menjaga Allah dengan baik, maka Allah juga tidak menjaga mereka, malah Allah menghukum mereka atas kesombongan dan keangkuhan mereka.


Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, Firaun yang berkuasa di Mesir suatu masa dulu memang hebat dan terkenal. Waktu berkuasa, negerinya dilimpahi dengan kekayaan, dialiri oleh sungai-sungai dan alamnya yang subur dengan buah-buahan. Namun kerana dia tidak menjaga Allah, maka Allah pun tidak menjaganya, sehingga dia ditenggelamkan di lautan dalam keadaan menyesali diri.


Hal ini difirmankan Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud: “Alangkah banyaknya taman dan mata air yang mereka tinggalkan dan kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah-indah dan kesenangan-kesenangan yang mereka menikmatinya. Dan Kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain. Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka dan mereka pun tidak diberi tangguh.” (Surah Ad-Dukhan ayat 25-29) Demikian juga nasib yang sama menimpa Qarun. Dia dianugerahi oleh Allah dengan harta yang tidak dapat dibayangkan banyaknya, namun kerana dia tidak menjaga Allah, maka Allah pun tidak menjaganya. Qarun tidak mahu menerima hakikat bahawa kekayaannya itu datangnya daripada Allah. Dia sombong dan angkuh. Dia mengatakan yang semua kekayaan yang dimilikinya itu adalah kerana ilmu yang ada padanya. Dengan ilmu itu, dia beranggapan membolehkan dia mendapat kekayaan berkenaan.


Sesungguhnya Allah itu Maha Besar dan Maha Berkuasa. Kerana keangkuhan dan kesombongan Qarun itu, Allah turunkan bencana ke atasnya dan semua hartanya. Allah tenggelamkan Qarun dan semua hartanya ke dalam perut bumi.

tara ciri-ciri orang menjaga Allah bila dia sentiasa berkeinginan untuk mendirikan solat dengan khusyuk dan berjemaah serta dilaksanakannya tepat pada waktunya. Barangsiapa memelihara solatnya maka Allah akan menjaganya.


Satu lagi ciri orang menjaga Allah apabila dia menjaga hatinya daripada pelbagai penyakit rohani ataupun daripada dorongan hawa nafsu. Jika hati rosak, maka rosaklah segala sesuatu. Berkenaan hati, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada segumpal darah, yang jika baik, maka seluruh anggota tubuh akan baik pula dan jika rosak, maka seluruh anggota tubuh akan rosak pula. Itulah hati.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad) Manusia akan rugi pada hari kiamat kelak kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang bersih. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah Asy-Syu'ara ayat 88-89) Sebahagian ahli tafsir mengatakan bahawa hati yang bersih yang dimaksudkan itu ialah hati yang dipenuhi dengan kalimat ‘la ilaha illallah muhammadur Rasulullah.’ Apa pun yang kita lakukan dalam hidup ini, seharusnyalah hati kita sentiasa dekat dengan Allah s.w.t. Kita jaga Allah dalam apa saja pekerjaan yang dilakukan, baik untuk keperluan hidup kita di dunia mahupun untuk keperluan hidup kita di akhirat kelak. Allah akan menjaga kita dalam semua perkara jika kita menjaga Allah.


Untuk membuktikan hal ini, Allah s.w.t berfirman dalam surah Yusuf ayat 64 yang bermaksud: “Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara penyayang.”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...